Bola Sepak

Harimau Malaya buru kelompok 15 terbaik Asia

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bercita-cita tinggi apabila meletakkan harapan skuad Harimau Malaya mampu berada dalam kelompok 15 terbaik di Asia, kelak.

Harapan menggunung itu disuarakan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang melihat kejayaan positif secara konsisten dicapai skuad Harimau Malaya mampu merealisasikan impian itu.

Beliau berkata, ketika ini adalah masanya mereka menguji pasukan di kedudukan ranking yang lebih baik bermula dengan aksi berdepan Syria dan China, September ini.

"Tiba masanya mula lawan pasukan yang sepatutnya kita jumpa untuk peningkatan (ranking). Kita tidak boleh tingkatkan terus, contohnya untuk kalahkan Brazil, tetapi kita komited ke arah itu.

"Sebab itu bermulanya kita menentang lawan di ranking tinggi seperti Syria dan China. Ini adalah ujian yang bagus untuk melihat supaya pasukan ini dapat belajar sesuatu dan cuba mendapatkan kemenangan.

"Ini adalah prosesnya dan sama untuk Pestabola Merdeka nanti. Kita bertemu pasukan yang lebih besar kerana impian kita adalah untuk memasuki kelompok 15 terbaik di Asia.

"Kita kena lalui seperti itu dan harapkan pasukan kita dapat konsisten untuk bermain," katanya.

Mengikut rekod, skuad bimbingan Kim Pan-gon ketika ini berada pada kedudukan ke-24 di Asia dan keempat di Asia Tenggara.

Selain itu, Hamidin turut menjelaskan tiada istilah untuk eksperimen selepas skuad negara bakal berdepan lawan lebih kuat selepas ini kerana ia adalah taktikal dan pendekatan yang disusun barisan kejurulatihan.

"Semua adalah pilihan Pan-gon untuk berjumpa semua pasukan yang kita temui sebelum ini dan dia terangkan mengapa sebabnya.

"Ini adalah masanya apabila kita tidak bertemu pasukan yang sering kita jumpa sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2023 @ 4:39pm
d