Bola Sepak

Rolon bantu Kelantan FC kecap nikmat kemenangan

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Kelantan FC akhirnya menamatkan badi kekalahan selepas menang 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Kali terakhir Kelantan menang adalah 2-0 ke atas Penang FC pada 5 Mac lalu sebelum mengalami 15 kekalahan berturut-turut.

Kemenangan ini sudah pasti amat bermakna kepada Kelantan FC yang berada di depan menerusi sepakan percuma Leonardo Rolon seawal minit kedua perlawanan.

Rolon menggandakan jaringan selepas percubaan jarak jauh dari luar kotak penalti menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada minit ke-30.

Situasi dalam padang sedikit kecoh apabila pemain skuad Jang tidak berpuas hati dengan pengadil, Mohamad Faizudin Ismail pada minit ke-43.

Selang seminit kemudian, kekecohan sekali lagi berlaku mengakibatkan tiga pemain iaitu import Kelantan, Natanael Siringo Ringo serta dua pemain NSFC, Filemon Anyie Standly dan Tommy Mawat Bada menerima kad kuning.

Memasuki babak kedua, hantaran jarak jauh Muhaimin Izuddin pada minit ke-50 tersasar tinggi melepasi tiang gol untuk menafikan gol ketiga buat The Red Warriors (TRW).

NSFC terus dirundung malang apabila Mohamad Hariz Kamarudin dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada babak tambahan masa kedua.

Disiarkan pada: August 9, 2023 @ 11:21pm
d