Bola Sepak

Penyokong mahu Mamut konsisten

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC menuntut penyerang import skuad Penyu, Ivan Mamut agar lebih tajam terutama dalam misi pasukan memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

Pada dua aksi terakhir masing-masing satu dalam saingan Piala Malaysia dan Liga Super, penyerang tinggi lampai kelahiran Croatia itu meledak empat jaringan dengan hatrik ketika berdepan Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers FC) dan satu gol ketika menentang pasukan jiran, Kelantan United FC (KUFC).

Setakat ini selepas 19 perlawanan liga, Mamut sudah meledak tujuh gol manakala dalam aksi Piala Malaysia dia menjaringkan tiga gol dan Piala FA dua gol.

Presiden Kelab Penyokong Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, Mamut semakin menunjukkan peningkatan terutama dalam dua aksi terakhir dengan mencipta empat jaringan bagi membantu pasukan menang 4-0 menumpaskan KL Rovers dan 4-1 menewaskan KUFC.

"Bagaimanapun pemain itu perlu berusaha lebih gigih lagi untuk memperbaiki kelemahan bagi memastikan prestasinya lebih konsisten dalam setiap perlawanan lebih-lebih lagi setakat ini hanya dia seorang menjadi taruhan pasukan untuk merobek gawang lawan.

"Kami bagi pihak peminat setia turut mengharapkan Mamut tidak mendabik dada bagi mengelak dia hanyut dibuai pujian hasil empat jaringan dalam dua perlawanan itu kerana tugasannya masih jauh dan berliku.

"Kami harap berdepan Kelantan FC minggu depan, dia perlu lebih tajam di depan gawang bagi memastikan rentak kemenangan dapat diteruskan pasukan dalam misi mengintai kedudukan lebih baik dalam saingan liga," katanya.

Selepas 19 perlawanan, TFC kini menghuni di tangga keenam liga dengan mengutip 29 mata hasil lapan kemenangan dan lima seri.

Disiarkan pada: August 11, 2023 @ 3:57pm
d