Bola Sepak

Kane hijrah sebab dahagakan trofi

Oleh AFP

Munich: Harry Kane berkata keinginan peribadi menamatkan pencarian piala menjadi sebab utama dia menyertai kelab gergasi Jerman, Bayern Munich dari Tottenham.

Kane meninggalkan Spurs menerusi perjanjian asal 100 juta euro (RM504.2 juta) selepas menghabiskan seluruh kariernya di kelab itu.

Pemain berusia 30 tahun itu meninggalkan Tottenham sambil memegang rekod penjaring terbanyak dengan 280 gol selain namanya juga berada dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman England pada saingan antarabangsa.

Bagaimanapun dia masih belum menang sebarang trofi buat kelab atau negara.

Kedudukan kelapan Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu bermakna Kane juga berdepan musim tanpa bola sepak Eropah jika kekal di kelab utara London itu.

"Saya rasa saya sentiasa katakan dalam karier, saya mahu terus meningkat, terus memberikan tekanan kepada diri sendiri untuk mengetahui tahap saya dan melihat sejauh mana ia boleh membawa saya.

"Kemuncaknya saya mahu bermain pada tahap tertinggi, saya mahu bermain dalam Liga Juara-Juara, saya mahu bersaing merebut trofi setiap tahun.

"Jadi untuk datang ke Bayern Munich, satu daripada kelab terbesar dunia, ia datang bersama peluang itu, jadi saya tidak sabar menantikan peluang berkenaan," kata Kane.

Disiarkan pada: August 14, 2023 @ 11:34am
d