Bola Sepak

Kehadiran Luqman, Nooa bakal beri impak

Oleh Syazwan Msarmoh

Kuala Lumpur: Pasukan Bawah 23 tahun (B-23) negara boleh dikatakan lebih lengkap menerusi kombinasi tonggak utama Liga Super dan pemain yang beraksi di luar negara sekali gus mampu memberi tentangan sengit pada saingan kelayakan Piala Asia B-23.

Tonggak utama skuad B-23 Mukhairi Ajmal Mahadi berkata, barisan pemain yang dilihat lebih kuat berbanding pada saingan terdahulu diharap mampu menutup segala kritikan yang dilemparkan terhadap pasukan muda itu.

Katanya, barisan pemain negara akan menggunakan pentas kelayakan Piala Asia itu sebagai medium untuk menebus kekecewaan selepas gagal mencapai sasaran di Sukan Sea Kemboja dan Piala AFF B-23 baru-baru ini.

"Semua ada tanggungjawab masing-masing dan saya harap apabila kita sampai di sini, kita dapat bersatu hati, main secara bersama dan ini cabaran untuk semua orang.

"Kita ada matlamat dan saya harap kita dapat buat kejutan sebab kita terlalu 'down' sekarang. Ini motivasi kepada kita sebab sebelum ini kita kalah, kalah dan kalah, jadi saya harap pemain dapat motivasikan diri untuk bangkit," katanya.

Skuad kendalian E Elavarasan berada dalam Kumpulan H dan akan memulakan saingan berdepan Bangladesh, Rabu ini diikuti Filipina (Sabtu) dan Thailand (12 September).

Sebelum ini skuad negara dipalit kegagalan di Sukan Sea dan Piala AFF B-23 namun Mukhairi yang juga pemain Selangor menaruh keyakinan terhadap senarai pemain membabitkan Nooa Laine dan Luqman Hakim Shamsudin mampu memberi impak positif kepada pasukan.

"Kehadiran Nooa dan Luqman juga bagus untuk pasukan sebab kita tahu mereka bermain di tahap yang jauh lebih baik.

"Bagi saya ini semua kerja berpasukan, bukan individu dan saya harap mereka dapat sesuaikan diri dengan situasi sekarang dan rakan lain. Paling penting sebagai pemain bola sepak kita perlu lalui sebagai satu pasukan," katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2023 @ 5:22pm
d