Bola Sepak

Sancho cari pasal kritik Ten Hag

Oleh AFP

London: Masa depan Jadon Sancho di Manchester United kini dalam keraguan selepas dia mengkritik pengurus, Erik ten Hag yang mengatakan pemain itu digugurkan kerana prestasi lemah ketika latihan.

Pemain berusia 23 tahun itu yang menyatakan dia menjadi 'kambing hitam' tidak dibawa bersama pasukan ke London apabila mereka tewas 1-3 di tangan Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi semalam.

Pemain sayap England itu kecewa dengan penggugurannya selepas masuk sebagai pemain gantian dalam tiga aksi awal United.

Ten Hag memiliki beberapa pemain menyerang berpengalaman di Emirates dengan muka baru, Rasmus Hojlund, Alejandro Garnacho dan Facundo Pellistri turut berada dalam senarai pemain simpanan.

The Red Devils dilihat hampir mencapai keputusan seri 1-1, tetapi dibolosi dua kali pada masa kecederaan dan kekalahan itu meletakkan mereka di tangga ke-11 liga.

Ten Hag berkata, Sancho digugurkan kerana prestasi lemah ketika latihan.

"Jadon berdasarkan kepada prestasinya ketika latihan, kami tidak memilihnya bersama pasukan," kata pengendali Belanda itu selepas perlawanan.

"Anda perlu mencapai tahap ditetapkan setiap hari di Manchester United dan kami boleh membuat pilihan di jentera depan. Setakat ini, dia tidak dipilih."

Bagaimanapun, Sancho membalas kenyataan itu menerusi cara agak kasar dia media sosial.

"Tolong jangan percaya semua yang anda baca. Saya tidak akan benarkan orang bercakap mengenai perkara yang langsung tidak betul, saya berlatih dengan sepenuh hati pada minggu ini," katanya menerusi kenyataan di X, yang dulunya dikenali sebagai Twitter.

Disiarkan pada: September 4, 2023 @ 10:42pm
d