Bola Sepak

Southgate pertahan Henderson, dijangka beraksi menentang Ukraine

Oleh Reuters

Wroclaw, Poland: Pengurus England, Gareth Southgate mengakui tempat Jordan Henderson dalam pasukannya menjelang aksi Kelayakan Euro 2024 menentang Ukraine tidak akan terjejas meskipun pemain tengah itu dikritik hebat oleh komuniti LGBTQ di England.

Jelas Southgate, pemilihan pemain adalah berdasarkan kepada prestasi semasa pemain dan bukan dibuat atas isu di luar padang.

"Saya tidak memilih pemain berdasarkan reaksi luar. Dia (Henderson) seorang pemain yang profesional dan cukup berpengalaman.

"Dia juga matang dan bijak dalam menangani sebarang isu yang melanda dirinya. Malah, dia berlatih dengan penuh semangat dan langsung tidak terganggu dengan isu di luar padang.

"Saya fikir dia bersedia untuk perlawanan. Bukan hanya dia, pemain lain juga bersedia dan sesiapa pun layak diturunkan kerana masing-masing menunjukkan kesungguhan," katanya.

Sebelum ini, Henderson yang juga bekas pemain Liverpool di kecam hebat oleh golongan LGBTQ di negaranya selepas dia menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq.

Henderson cukup dikenali antara pemain yang menyokong LGBTQ namun sebaik dia menerima tawaran ke Arab Saudi di mana sebuah negara yang menentang golongan sonsang berkenaan, Henderson terus menerus menjadi sasaran kecaman kumpulan terbabit.

Sementara itu, Southgate akui anak didiknya bakal berdepan halangan getir apabila turun menentang Ukraine yang dijangka bakal meraih sokongan padu ribuan penyokong di Poland nanti.

"Kita sedar akan kehadiran ribuan penyokong Ukraine yang bakal datang beramai-ramai ke stadium nanti. Pemain perlu fokus sepanjang aksi agar kemenangan dapat di bawa pulang," katanya.

Aksi kedua-dua pasukan terpaksa di langsungkan di Poland susulan situasi semasa di Ukraine yang masih terbabit peperangan dengan Rusia.

Disiarkan pada: September 9, 2023 @ 9:33am
d