Bola Sepak

Selvan mahu bantu NSFC sekat JDT

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Fokus Negeri Sembilan FC (NSFC) kekal positif untuk mencipta keputusan yang baik pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Rabu ini.

Meskipun ramai menyifatkan kelebihan hampir pasti berpihak kepada JDT berdasarkan reputasi besar dimiliki skuad Harimau Selatan itu selain rekod pertemuan sebelum ini yang dikuasai JDT, namun pemain Negeri Sembilan tetap bersemangat untuk memberikan cabaran terbaik.

Penyerang muda Negeri Sembilan, A Selvan akui JDT adalah pasukan yang memiliki kesempurnaan sekali gus membuatkan ramai yang memilih pasukan berkenaan sebagai pilihan.

"Sesiapa pun tidak boleh menafikan kehebatan pasukan JDT dalam liga tempatan kerana mereka sudah memiliki rentetan kemenangan dalam saingan Liga Super khususnya, sejak sembilan tahun lalu.

"Namun, sebagai tanggungjawab dalam mempertahankan maruah pasukan, kami kekal fokus menjalani latihan sebagai persiapan untuk memastikan pasukan dapat memberikan tentangan yang hebat dan berkualiti pada perlawanan itu nanti.

"Saya dan rakan-rakan akan terus berusaha mencapai prestasi terbaik kerana ingin berikan saingan dan mahu mendapatkan keputusan yang baik. Saya percaya dengan sedikit tuah mungkin berpeluang mendapatkannya," kata Selvan.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia berhasrat untuk bertindak lebih agresif dalam membantu jentera serangan skuad Hobin Jang Hobin, jika diturunkan pada aksi itu nanti.

Menurutnya, segala ilmu dan kemahiran di bawah bimbingan K Devan selain pengalaman menyertai skuad bawah 23 tahun kebangsaan sebelum ini akan digunakan bagi membantu pasukan.

Disiarkan pada: September 10, 2023 @ 5:21pm
d