Bola Sepak

Klinsmann dalam bahaya

Oleh AFP

Hong Kong: Korea Selatan berdepan Arab Saudi dalam aksi persahabatan di St James' Park awal pagi Rabu ini ketika Jurgen Klinsmann berdepan tekanan susulan prestasi hambar skuad kendaliannya.

Legenda Jerman itu hanya dilantik pada Februari lalu tetapi Korea Selatan tidak menang dalam lima perlawanan terakhir, dua kali kalah dan seri tiga kali.

Kekecewaan terbaru ketika seri 0-0 dengan Wales di tempat lawan minggu lalu namun ketua pasukan Son Heung-min tetap mempertahankan jurulatih berusia 59 tahun itu.

"Saya faham dari mana penyokong datang, saya juga bersama skuad kebangsaan sekian lama," kata penyerang Tottenham Hotspur kepada wartawan di Cardiff.

"Saya tak kata jurulatih sentiasa betul tetapi saya juga tidak fikir penyokong juga selalu betul."

Korea Selatan mara ke peringkat 16 di Piala Dunia Qatar sebelum tewas 1-4 kepada Brazil yang menamatkan tugas jurulatih Paulo Bento.

Persatuan Bolasepak Korea mencari jurulatih baharu sebelum membuat keputusan melantik Klinsmanns, pemenang Piala Dunia yang karier kejurulatihannya tidak sehebat kejayaan dicapai ketika sebagai pemain.

Klinsmann yang mengendalikan Hertha Berlin tiga tahun lalu bermula dengan seri 2-2 menentang Colombia sebelum tewas di tempat sendiri di tangan Uruguay dan Peru.

Kemudiannya mereka seri 1-1 di tempat sendiri dengan El Salvador dan keputusan seri tanpa jaringan menentang Wales menambahkan tekanan ke atas bahu bekas pengendali Amerika Syarikat itu.

Walaupun diterajui penyerang paling berbisa Asia Heung-min, Korea Selatan hanya mampu membuat satu percubaan tepat ke gawang ketika menentang Wales yang menduduki ranking ke-35 dunia.

Kegagalan menewaskan Arab Saudi yang menduduki ranking ke-54 berbanding Korea Selatan (28) bakal menyebabkan jawatan Klinsmann dalam bahaya selepas hanya kurang tujuh bulan mengendalikan pasukan itu.

Disiarkan pada: September 11, 2023 @ 5:42pm
d