Bola Sepak

'Kelemahan taktikal skuad B-23 perlu diperbaiki'

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengurus skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengakui pasukan muda negara perlu memperbaiki taktikal permainan jika mahu menumpaskan lawan lebih hebat pada masa akan datang.

Shahril berkata, secara keseluruhan, barisan skuad B-23 negara beraksi dengan cukup baik sepanjang kempen kumpulan H kelayakan Piala Asia B-23 dengan merekodkan dua kemenangan dan tewas sekali kepada tuan rumah, Thailand.

Beliau berkata, walaupun skuad B-23 layak ke Piala Asia pada 'saat akhir', itu adalah petanda pasukan terbabit akan bangkit dengan memperbaiki setiap kelemahan untuk tampil lebih meyakinkan di Qatar, tahun depan.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi barisan pemain yang sentiasa menunjukkan semangat melawan tinggi terutama ketika bertemu Thailand malam tadi.

"Walaupun ada beberapa pemain menyertai pasukan pada saat akhir, itu bukanlah alasan kepada mereka untuk membuktikan keupayaan dalam membantu pasukan mencipta keputusan positif.

"Cuma menentang Thailand ada menunjukkan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki kerana di pentas Piala Asia nanti, sudah pastinya cabaran lebih besar, sekali gus perlu persiapan lebih rapi," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, skuad muda negara hampir kempunan untuk beraksi di Piala Asia B-23 di Qatar pada April tahun depan apabila tumbang 0-1 di tangan Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi, di Bangkok, malam tadi.

Gol skuad Gajah Perang dijaringkan pada pada minit ke-20 hasil tandukan penyerang berusia 18 tahun, Yotsakon Burapha yang menerima hantaran lintang Phongsakon Trisat.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara sekadar menamatkan kedudukan di tangga kedua kumpulan dan menobatkan Thailand selaku juara kumpulan yang layak secara automatik ke pusingan akhir tahun depan.

Namun, Malaysia layak beraksi di Qatar menerusi slot empat naib juara terbaik selepas berakhirnya semua aksi peringkat kumpulan kelayakan awal pagi tadi.

Disiarkan pada: September 13, 2023 @ 1:16pm
d