Bola Sepak

Guardiola tabik impak besar Doku

Oleh AFP

London: Pep Guardiola memuji Jeremy Doku selepas penyerang Belgium itu menjaringkan gol pertamanya bersama Manchester City untuk memberi inspirasi kepada kemenangan 3-1 di West Ham, tengah malam tadi.

Skuad bimbingan Guardiola ketinggalan menerusi jaringan James Ward-Prowse pada separuh masa pertama di Stadium London.

Tetapi City bangkit untuk menyamakan kedudukan dalam beberapa saat selepas bermula babak kedua apabila Doku memperdaya pertahanan lawan, Vladimir Coufal dan menjaringkan gol pertamanya sejak berhijrah dari Rennes.

Bernardo Silva dan Erling Haaland menjaringkan gol pada 15 minit terakhir untuk memastikan City mengekalkan permulaan sempurna mereka dan kekal di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan kelima berturut-turut.

Guardiola berkata dia tidak menjangkakan Doku pantas memberi impak selepas membuat penampilan sulung menentang Fulham sebelum rehat antarabangsa.

Guardiola menyaksikan perlawanan dengan Fulham itu dari Barcelona semasa melalui proses pemulihan selepas menjalani pembedahan belakang, tetapi sejak kembali ke Manchester, beliau kagum dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh Doku.

"Ketika saya berada di Barcelona, ​​saya dapat merasakan yang dia sedikit gementar (menentang Fulham). Dia baru tiba, menjalani latihan dua atau tiga hari, dengan pasukan yang memenangi treble.

"Hari ini sejak minit pertama dia sangat luar biasa, agresif dan mempunyai keazaman yang hebat. Banyak perkara positif yang dia lakukan. Sangat berpuas hati. Kami tahu dia mempunyai kualiti dan hari ini dia mula membuktikannya.

"Apabila anda membeli pemain muda sepertinya dengan kontrak selama bertahun-tahun, kami perlu bersabar.

Saya tidak menjangkakan dia beraksi dengan baik hanya selepas kali kedua beraksi bersama City," kata Guardiola.

Disiarkan pada: September 17, 2023 @ 8:24am
d