Bola Sepak

Kedah siap sedia buru Piala Cabaran

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus fokus memberi tumpuan untuk menghadapi aksi Piala Cabaran menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching Sarawak Selasa ini.

Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, selepas tersingkir dari saingan Piala Malaysia musim ini, impian Sang Kenari kini terletak pada saingan Piala Cabaran untuk memastikan impian menjulang piala dapat dicapai musim ini.

"Piala tetap piala...dan begitu juga matlamat kami sudah pasti adalah untuk merebut kemenangan piala itu dan tak kiralah sama ada piala apa sekalipun, kerana pastinya semua pasukan yang bersaing tetap mahu merebutnya.

"Bagi memastikan laluan mencapai kejuaraan, kita perlu kekalkan fokus dan mengelak sebarang kelalaian apabila bertemu Kuching City FC pada suku akhir pertama ini dengan sasaran menang melalui persiapan yang sedang kita lakukan sejak tempoh liga berehat.

"Yang pasti, kita mahu turun dengan kemampuan terbaik yang ada pada pada pasukan dan akhirnya aksi diatas padang itu sendiri akan menentukan hasilnya nanti," katanya.

Nafuzi juga sedar lawannya Kuching City di bawah kendalian bekas jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak bakal tampil dengan tentangan lebih kuat.

"Saya anggap skuad Kuching City bukan pasukan yang akan memberi laluan mudah buat kami tambahan pula kami beraksi di tempat lawan pada aksi suku akhir pertama ini.

"Sudah pasti Aidil akan menganggap perlawanan ini sebagai satu yang istimewa buatnya kerana menentang bekas skuad kendaliannya dan oleh itu kami perlu lebih waspada agar tidak terperangkap dalam percaturan yang akan kami hadapi," katanya.

Kedah bakal menghadapi saingan suku akhir kedua sekali lagi bertemu Kuching City FC di Stadium Darul Aman pada 4 Oktober depan.

Disiarkan pada: September 17, 2023 @ 3:52pm
d