Bola Sepak

Kelantan sahkan kemaraan ke suku akhir KLWSL

Kuala Lumpur: Skuad bola sepak wanita Kelantan FA mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir saingan Liga Super Wanita Kuala Lumpur (KLWSL).

Wakil Pantai Timur itu muncul juara Kumpulan B apabila mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas menewaskan Wangsa Maju City 2-1 di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa pada petang kelmarin.

Kelantan bagaimanapun tidak memulakan perlawanan dengan baik apabila kealpaan benteng pertahanan membolehkan Wangsa Maju membuka tirai jaringan menerusi Norshahira Suhaime seawal minit ke-18 perlawanan.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Mohd Adnan Rahman bangkit menyamakan kedudukan menerusi Nurul Zahoirah Salwa Najmi pada minit ke-50, yang berpunca daripada satu gerakan serang balas pantas.

Jaringan itu memberikan keyakinan buat Kelantan untuk terus menguasai perlawanan dan hasilnya, gol kemenangan yang di tunggu kunjung tiba pada minit 66 menerusi tindakan penyudah Muaskan Abdul Majid sekali gus mengesahkan kemenangan keempat Kelantan musim ini.

Satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan FC Japan Malaysia menewaskan Mixstars 2-0 di Padang MSN Setiawangsa manakala dalam saingan Kumpulan A yang berlangsung di Akademi Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Sunbears FC pula menewaskan Galaxi Social Team 1-0 dan PJKITA FC mencatat kemenangan tipis ke atas FC Spicegals 1-0 untuk mengesahkan kemaraan selaku juara Kumpulan A.

Selain Kelantan dan PJKITA yang mara selaku juara kumpulan, pasukan-pasukan lain yang mara ke suku akhir adalah FC Spicegals, Setiawangsa Rangers dan Sunbears daripada Kumpulan A manakala, Wangsa Maju City, FC Japan Malaysia dan Strenen daripada Kumpulan B.

Disiarkan pada: September 19, 2023 @ 6:57pm
d