Bola Sepak

Permulaan sempurna Spurs bakal diuji Arsenal

Oleh Reuters

London: Dalam tempoh beberapa minggu, Ange Postecoglou menghapuskan suasana suram yang membelenggu Tottenham Hotspur di Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan gaya permainan menarik dan bersemangat.

Empat kali menang dan seri sekali dalam lima perlawanan awalnya di EPL adalah pencapaian terbaik kelab itu di liga utama dalam tempoh 57 tahun, tetapi mereka akan berdepan ujian sebenar pada Ahad ini.

Lawan mereka, Arsenal yang turut mengumpul 13 mata dan kembali cemerlang di Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi semalam, pasti bersemangat mahu menunjukkan kuasa dalam persengketaan dua seteru setempat itu.

Aksi derbi utara London itu, tidak kira posisi pasukan dalam liga selalunya kerap berlangsung hangat.

Kali ini, Spurs mahu membuktikan permulaan cemerlang mereka itu bukan hanya kebetulan.

Malah, selepas kemenangan di tempat sendiri ke atas Manchester United dianggap menarik, Tottenham kemudian berdepan Bournemouth dan dua pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Burnley dan Sheffield United.

Ia menyebabkan penilaian terhadap jurulatih berusia 58 tahun kelahiran Australia yang pernah mengendalikan Celtic itu perlu ditangguhkan seketika sehinggalah aksi Ahad ini.

Spurs tidak pernah menang perlawanan liga di Emirates dalam tempoh 13 tahun apabila tewas lima daripada enam kunjungan terakhir dan dibolosi 16 gol.

Rekod mereka di tempat sendiri menentang seteru setempat itu lebih menarik, walaupun Arsenal menang 2-0 pada Januari lalu, yang menentukan hala tuju kedua-dua pasukan.

Ketika itu, Arsenal bersaing rapat merebut gelaran liga dengan Manchester City manakala Tottenham dalam tempoh menamatkan tempoh sukar di bawah kendalian Antonio Conte.

Spurs akhirnya menamatkan liga di tempat kelapan, ketinggalan 24 mata di belakang Arsenal yang menduduki tempat kedua - kali pertama sejak 2016 apabila mereka menamatkan saingan di bawah Arsenal.

Disiarkan pada: September 21, 2023 @ 9:03pm
d