Bola Sepak

TFC tampil corak permainan agresif - Tommy

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) bakal menerapkan corak permainan lebih agresif bagi 'menjerat' Selangor FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor, malam esok.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil 'Tommy' berkata, jaringan awal juga penting bagi memastikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tertekan dalam misi untuk melangkah ke separuh akhir.

"Saya jangkakan pertarungan yang sengit dan sukar bakal menanti kami lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan selain Selangor FC mahukan sekurang-kurangnya tiga jaringan.

"Kami akan cuba menerapkan corak permainan lebih agresif dan perlu bijak menyusun taktikal bagi memastikan pemain lawan tidak mempunyai ruang dan masa untuk melakukan asakan.

"Jaringan awal juga begitu penting buat kami biarpun kini mendahului kerana ia bakal memberikan semangat dan kekuatan kepada pemain untuk menamatkan aksi 90 minit," katanya.

Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Croatia itu akui terpaksa melupakan khidmat pertahanan tengah dari Uzbekistan, Sardor Kulmatov yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha.

"Bagaimanapun kami lega kerana tiada pemain yang digantung perlawanan, cuma Kulmatov tidak dapat beraksi manakala Adisak Kraisorn dan Jordan Mintah tidak bersama pasukan ke Selangor pada kali ini," katanya.

Pada aksi suku akhir pertama, TFC berjaya membawa bekalan dua jaringan menerusi kemenangan 2-0.

Disiarkan pada: September 23, 2023 @ 1:11pm
d