Bola Sepak

Bola sepak ejen terbaik satukan semua pihak

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melihat bola sepak adalah ejen terbaik untuk mengukuhkan hubungan antara negara sekali gus mampu menyatukan semua pihak pada masa akan datang.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya menganggap bola sepak yang menjadi ejen hubungan serantau antara negara, terus kukuh dengan hubungan dua hala negara gabungan yang dijalinkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Industri bola sepak dianggap platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan antara negara khususnya ia mengambil hakikat bahawa bola sepak ialah ejen penyatuan dan sukan nombor satu di kebanyakan negara.

"Persidangan yang bermula hari inimenyaksikan Presiden dan Setiausaha Agung negara-negara ahli gabungan AFC berkumpul yang mana kami sama-sama dapat mengukuhkan lagi usaha kerjasama erat dalam membangunkan bola sepak di rantau ini," katanya.

Terdahulu, Hamidin bersama Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman hadir ke Persidangan Presiden serta Setiausaha Agung Ahli Gabungan termasuk Persatuan Serantau AFC 2023.

Majlis pembukaan persidangan terbabit disempurnakan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John yang turut dihadiri Perdana Menteri Uzbekistan, Abdulla Aripov dan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino.

Pelbagai topik disediakan oleh AFC bagi persidangan itu yang merangkumi mengenai kepimpinan dan kuasa bola sepak sebagai pemangkin transformasi nasional, membentuk masa hadapan kepimpinan dan kejayaan di dalam kepimpinan sukan itu terhadap wanita.

Disiarkan pada: October 7, 2023 @ 8:32pm
d