Bola Sepak

Kami seri kerana kesilapan sendiri - Xavi

Oleh AFP

Barcelona: Barcelona bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk berkongsi mata selepas mencatat keputusan seri 2-2 dalam aksi mendebarkan berdepan Granada.

Bagaimanapun, kebangkitan itu tidak memberi sebarang makna selepas mereka kehilangan mata untuk bersaing bagi perebutan trofi La Liga.

Bryan Zaragoza menyumbat dua gol kepada tuan rumah tetapi jaringan Lamine Yamal dan Sergi Roberto mengekalkan rekod juara Barca sebagai satu-satunya pasukan yang tidak tewas dalam La Liga.

Pasukan Catalan itu sekarang ini berada di tempat ketiga dan duduk tiga mata di belakang pendahulu Real Madrid, dan satu di belakang jiran, Girona, yang kedua-duanya menang pada hari Sabtu.

Zaragoza meledak dua gol pada separuh masa pertama, termasuk memecah kebuntuan selepas 17 saat perlawanan dimulakan iaitu gol paling pantas pernah dilepaskan Barcelona pada abad ke-21.

Yamal kembali meletakkan Barca di dalam perlawanan sejurus selepas rehat apabila meledak gol untuk mencipta sejarah penjaring termuda La Liga pada usia 16 tahun dan 87 hari.

Skuad kendalian Xavi Hernandez menyamakan kedudukan ketika berbaki tiga minit apabila pemain gantian Sergi Roberto meledak jaringan tetapi mereka tidak menemui gol kemenangan pada lewat perlawanan

Ia adalah kebangkitan ketiga yang mereka lakukan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menewaskan Celta Vigo daripada ketinggalan dua gol dan kedua ketika ketinggalan kepada Mallorca dalam satu lagi keputusan seri 2-2.

"Saya fikir kami menguasai sepenuhnya, kami mencipta peluang, kami berhak mendapat lebih banyak, tetapi (kami seri) kerana kesilapan kami sendiri, kami tidak boleh bermula dengan cara itu," kata Xavi kepada DAZN.

"Kami mengambil satu mata, yang bagi kami, tidak mencukupi."

Disiarkan pada: October 9, 2023 @ 11:01am
d