Bola Sepak

'Saya tak rela bermain sebulan sekali' - Maguire

Oleh Agensi

London: Harry Maguire berkata dia akan meninggalkan Manchester United pada Januari jika terus tidak diberi peranan utama di bawah bimbingan pengurus, Erik ten Hag.

Maguire, yang dipecat sebagai kapten United pada musim panas lalu, diberi peluang membarisi kesebelasan utama buat kali pertama di Liga Perdana musim ini ketika enam pemain pertahanan lain mengalami kecederaan dan menjadi watak penting kepada gol Scott McTominay ketika menentang Brentford, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu mungkin diketepikan semula apabila pemain seperti Raphael Varane cergas semula sekali gus menjejaskan peluangnya terpilih membarisi skuad England di Euro 2024 di bawah kendalian Gareth Southgate.

"Saya tidak akan duduk di sini sepanjang hidup saya dan bermain sebulan sekali. Jika ia berterusan, saya pasti diri saya dan kelab akan duduk bersama mengadakan perbincangan," kata Maguire.

"Ia bukan keputusan saya akan terpilih membarisi kesebelasan utama pada perlawanan seterusnya untuk United atau sebaliknya.

"Saya percaya dengan kemampuan saya dan ia agak sukar ketika ini. Saya mahu beraksi dan menjadi tonggak penting kepada kelab.

"Pada masa ini, saya kurang berpuas hati dengan apa yang saya mahukan."

Maguire hampir menyertai West Ham musim panas lalu tetapi berkata dia bersedia untuk beraksi bersama United jika Ten Hag kerap memberinya peluang beraksi.

"Saya hanya perlu memastikan saya bersedia untuk mengambil peluang itu apabila ia hadir," tambah Maguire.

Disiarkan pada: October 12, 2023 @ 6:00pm
d