Bola Sepak

Matt mahu julang Piala Pestabola Merdeka

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kapten skuad Harimau Malaya Matthew Davies memasang Impian mahu pastikan Piala Pestabola Merdeka 2023 menjadi milik Malaysia.

Matt yang juga tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata, walaupun bakal menentang Tajikistan yang dilihat mempunyai kelebihan berdasarkan kepada ranking semasa, namun dia percaya barisan pemain akan mempamerkan aksi terbaik pada Selasa ini.

Katanya, skuad Harimau Malaya perlu menang menentang Tajikistan terutamanya apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

"Sudah semestinya fokus kami adalah untuk menang kerana ini adalah kejohanan kita, kita tahu sejarah di sebalik kejohanan ini.

"Jadi kita tidak mahu pasukan dari negara lain datang dan menang ke atas kami di stadium dan di hadapan penyokong sendiri," katanya.

Sebelum itu, skuad Harimau Malaya berjaya menempah slot final Pestabola Merdeka 2023 selepas menundukkan India 4-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Jumaat lalu.

Selain itu, katanya, banyak perkara perlu dilakukan termasuklah memperbaiki corak permainan dalam usaha memperoleh keputusan positif pada perlawanan terbabit.

"Ia keputusan yang bagus untuk kami tapi masih ada perkara yang boleh diperbaiki terutamanya di bahagian pertahanan yang mana saya rasa kita patut lebih baik selepas melepaskan dua gol mudah.

"Tapi apa yang penting adalah kita berjaya memperoleh kemenangan 4-2. Tidak dapat dinafikan kami dapat merasai tekanan beraksi di tempat sendiri dengan padang baru," katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2023 @ 12:49pm
d