Bola Sepak

Perak janji tentangan sengit

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Kejayaan menyingkirkan dua kelab gergasi, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC dalam kempen Piala Malaysia, musim ini, membuatkan ramai beranggapan Perak FC mampu mengulangi magis itu apabila melayan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh, malam esok.

Namun pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah berkata, meskipun ramai beranggapan sedemikian, beliau menyedari kemampuan pasukannya yang belum cukup kuat, tetapi akan mencuba dan terus mencuba.

Beliau berkata, mereka menghormati JDT yang belum pernah tewas selain mencipta sejarah menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut, musim ini.

"Semua orang tahu akan kekuatan JDT. Sudah pasti apa yang harus difikirkan di sini adalah bagaimana untuk kami memberi tentangan kepada JDT dan dalam masa sama mengharapkan bantuan Allah SWT untuk memberikan sesuatu yang terbaik untuk semua.

"Sudah pasti ia satu perjalanan yang sukar buat Perak FC, tetapi kami pasti akan memberi tentangan sengit sepanjang 90 minit permainan," katanya.

Perak tewas 0-5 dalam kedua-dua aksi menentang JDT dalam kempen Liga Super, musim ini.

Bagaimanapun, Yusri berkata, rekod pertemuan sebelum ini adalah sejarah, walaupun tidak menafikan kekuatan pasukan lawan.

Menurutnya, semua pemain berada di tahap terbaik dan bersedia untuk bermain serta berharap mereka akan menggunakan peluang ini bagi meningkatkan keyakinan diri.

"Cuma yang saya khuatirkan adalah kondisi pemain pada hari perlawanan terutama malam esok, saya mengharapkan semuanya berjalan dengan cukup baik sepertimana yang sudah dirancangkan.

"Diharapkan pemain menggunakan kesempatan ini untuk memulihkan keyakinan mereka kerana ini pertemuan cukup besar dalam kalendar 2023 kami dan pemain perlu guna kesempatan aksi separuh akhir ini," katanya.

Pada masa sama, Yusri menggesa seluruh peminat dan penyokong Perak FC supaya hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada mereka.

Katanya, kehadiran penonton sangat penting untuk pemain kerana ia akan mempengaruhi corak permainan dan memberi motivasi tambahan.

Disiarkan pada: October 18, 2023 @ 6:12pm
d