Bola Sepak

Pan-gon perlu perkasa pertahanan

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: "Bila bercakap mengenai pertahanan, memang pertahanan kita koyak, masa final (Pestabola Merdeka) memang koyak teruk sebab kita cuba hendak main perangkap ofsaid.

"Kita kena gol pertama, kita (pemain pertahanan) hendak angkat tangan buat apa, kena dengar pengadil, janganlah kita pula yang jadi pengadil, selagi pengadil tidak tiup wisel, janganlah kamu pandai-pandai angkat tangan," kata bekas tonggak pertahanan pasukan negara, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Beliau berkata, tugas pemain pertahanan mestilah memastikan keadaan selamat terlebih dahulu dalam apa jua keadaan agar pemain lawan tiada kesempatan untuk mengambil peluang menjaringkan gol.

Katanya, pemain pertahanan muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Feroz Baharudin dilihat antara calon sesuai untuk berpasangan bersama Dion Cool di benteng pertahanan selepas melihat sistem pertahanan negara agak longgar terutama bek tengah.

Ujarnya, ketika aksi final Pestabola Merdeka antara Malaysia dan Tajikistan, pemain negara nampak sedikit penat terutama lima terakhir setiap babak menyebabkan fokus mula hilang dan pemain lawan dapat menjaringkan gol.

"Kurang sebulan dari sekarang untuk pengendali Harimau Malaya (Kim Pan-gon) melakukan sesuatu agar masalah sama seperti ini tidak akan berulang ketika lawan Kyrgyzstan, 16 November nanti.

"Untuk kita buat kecergasan dalam masa sebulan, memang sedikit sukar dan sebab itu, Pan-gon perlu memikirkan cara terbaik untuk mengatasi masalah berkenaan," katanya.

Jamal Nasir berkata, situasi itu memberi gambaran pemain belum berada di tahap kecergasan tinggi menyebabkan sukar untuk kekal di tahap tertinggi dan fokus sepanjang 90 minit permainan.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan D akan menerima kunjungan pasukan di ranking ke-96 dunia, Kyrgyzstan pada pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, pada 16 November depan.

Selepas itu, mereka akan terbang ke Taiwan untuk perlawanan kedua pada 21 November depan.

Disiarkan pada: October 20, 2023 @ 4:13pm
d