Bola Sepak

TMJ syor Velazquez pemain naturalisasi terbaru

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kekuatan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon dijangka bertambah mantap apabila seorang lagi pemain import kini dalam fasa untuk dinaturalisasikan.

Pemain yang dimaksudkan adalah tonggak tengah menyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Leandro Velazquez yang berkemungkinan besar memiliki potensi untuk dijadikan pemain naturalisasi terbaru negara.

Ia dinyatakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui Velazquez pemain sangat berkualiti dan terbaik dalam saingan Liga Malaysia.

"Saya berharap agar dia (Leandro) dapat menjadi pemain tempatan kerana saya rasa dia pemain sangat berkualiti," katanya dalam satu program sembang bola sepak bersama sebuah stesen televisyen swasta tempatan.

Untuk rekod, pemain bertubuh kecil kelahiran Argentina itu bukanlah nama asing buat peminat bola sepak JDT terutama ketika final Piala AFC pada 2015 lalu, di mana jaringan tunggalnya membolehkan skuad Harimau Selatan muncul juara kejohanan kedua tertinggi kelab-kelab di Asia itu.

Pada aksi final yang berlangsung di Dushanbe itu, JDT berjaya menumbangkan kelab Tajikistan menerusi kemenangan 1-0 sekali gus melakar sejarah kelab Malaysia dan rantau Asia Tenggara pertama memenangi Piala AFC.

Namun selepas itu, Velazquez pulang ke Amerika Selatan dan beraksi di beberapa buah kelab di Colombia dan Mexico sebelum pulang semula ke pangkuan JDT pada musim 2019.

Berdasarkan peraturan Fifa, seorang pemain import boleh dinaturalisasikan selepas beraksi selama lima tahun berturut-turut di negara sama dan ini bermakna, musim depan bakal menjadi tahun kelima buat pemain lincah itu sekali gus berpotensi untuk didaftarkan sebagai tonggak tempatan.

Ujar Tunku Ismail lagi, ketika ini Velazquez masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan serius dan beliau sanggup menunggu pemain itu sehingga pulih.

"Buat masa ini Leandro (Velazquez) masih cedera. Oleh kerana jasa beliau bersama pasukan JDT, saya akan tunggu walau berapa lama sekalipun," kata Tunku Ismail.

Ketika ini, skuad kebangsaan sudah mempunyai tujuh pemain naturalisasi terdiri daripada Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck, Paulo Josue dan Endrick dos Santos.

Selain itu, difahamkan terdapat dua lagi pemain import sedang diusahakan kelab masing-masing untuk dinaturalisasikan iaitu penyerang Kuala Lumpur City FC, Romel Morales dan pertahanan Terengganu FC, Argzim Redzovic.

Disiarkan pada: October 24, 2023 @ 12:05pm
d