Bola Sepak

Kedah waspada layan NSFC

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak menganggap aksi Liga Super di laman sendiri menentang Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Aman petang esok sebagai satu kelebihan.

Sebaliknya ketua jurulatih Sang Kenari Nafuzi Zain mengakui skuadnya tetap perlu berdepan cabaran serta tekanan tinggi dari skuad Hobin Jang Hobin kendalian K Devan yang akan cuba bangkit selepas menempuh dua kekalahan sebelum ini dalam saingan Liga Super.

"Saya menganggap aksi di Stadium Darul Aman tidak memberi jaminan serta kelebihan buat kami, kerana kami juga pernah dikecewakan pada perlawanan sebelum ini walaupun di tempat sendiri.

"Oleh itu kami perlu terus berusaha lebih gigih serta bekerja keras bagi memastikan kami dapat memungut tiga mata berharga untuk laluan yang lebih lancar buat kami dalam menuju baki kesemua perlawanan liga bermula petang esok," katanya.

Nafuzi juga berkata persiapan pasukannya juga berada pada tahap terbaik di samping pemain importnya Manuel Hidalgo sudah bersedia kembali beraksi semula selepas pulih dari kecederaan kira-kira sebulan lalu.

Menerusi 22 perlawanan, KDA FC kini berada pada tangga ketiga liga dengan 47 mata manakala NSFC FC di tangga ke sembilan dengan mengumpul 21 mata.

Disiarkan pada: October 27, 2023 @ 10:04pm
d