Bola Sepak

Perubahan kepimpinan punca masalah kewangan Sabah FC

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Perubahan kepimpinan utama menjadi antara punca Sabah FC menghadapi masalah kewangan sekali gus menyebabkan terdapat tunggakan gaji membabitkan pemain pasukan itu.

Menurut sumber, isu tunggakan gaji akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini apabila pucuk pimpinan pasukan sudah melakukan perbincangan dalam menyelesaikan kemelut itu.

"Biasalah berlaku dalam pasukan apabila pucuk pimpinan berubah secara tiba-tiba terdapat beberapa perkara yang sudah dirancang termasuklah membabitkan penaja akan terjejas.

"Tunggakan gaji pemain akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini dan akan pengurusan pasukan akan membuat pengumuman kelak.

"Ketika ini, pengurusan pasukan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi akan memburukkan keadaan seterusnya menjejaskan momentum pemain untuk mengharungi baki saingan Liga Super," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan terdapat desas-desus mengatakan bahawa Sabah FC berhadapan tunggakan gaji membabitkan pemain mereka.

Ia susulan selepas tularnya satu perkongsian di laman Tiktok berhubung kegagalan pengurusan Sabah FC menyelesaikan gaji pemain bawah 23 (B-23) kelab itu.

Individu terbabit yang tidak mendedahkan identiti dirinya mengakui dia adalah sebahagian anggota skuad The Rhinos B-23 musim ini yang bertanding di Piala MFL.

Mengikut rekod, isu tunggakan gaji menjadi perbualan hangat ketika ini apabila bukan saja Sabah FC terpalit masalah itu namun pasukan lain seperti Negeri Sembilan FC, Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) berhadapan situasi sama.

Disiarkan pada: October 30, 2023 @ 4:51pm
d