Bola Sepak

Maguire akui buat keputusan tepat

Oleh AFP

London: Harry Maguire berkata, dia berasa yakin dengan keputusannya untuk kekal dan berjuang merebut tempatnya di Manchester United selepas disenaraikan semula dalam pasukan Erik ten Hag.

Masa depan pertahanan England berusia 30 tahun itu dilihat semakin sukar di Old Trafford selepas dia kehilangan tempat pada permulaan musim lalu dan dilucutkan jawatan kapten tetapi dia akhirnya kekal.

Maguire tetap yakin dia akan memenangi tempatnya semula dan disenaraikan dalam kesebelasan utama pada lapan perlawanan terakhir kelab di semua pertandingan.

Ditanya sama ada keputusan kekal di United adalah tepat, Maguire mengakui ia sangat betul.

"Saya bermain beberapa perlawanan tahun lalu, 16 atau 17 dalam kesebelasan utama, dan saya rasa saya beraksi dengan sangat baik dalam permainan yang saya mainkan. Saya cuma tidak bermain seberapa banyak yang saya suka.

"Sebaliknya, Rapha (Varane) dan Licha (Lisandro Martinez) bermain dengan cemerlang dan mengekalkan banyak rekod tanpa bolos. Saya terpaksa menunggu masa saya dan bersabar.

"Saya mempunyai dua atau tiga peluang musim lalu untuk beraksi berturut-turut dalam perlawanan tetapi saya mengalami kecederaan, saya mengalami kecederaan dua kali, jadi saya tidak pernah mendapat rentak dan tidak pernah mendapat permainan yang boleh saya buktikan kepada pengurus.

"Saya sudah mendapatnya sekarang, saya sangat menikmati bola sepak saya dan saya sangat seronok bermain untuk kelab ini."

Disiarkan pada: November 13, 2023 @ 9:44pm
d