Bola Sepak

Son, Korea 'buli' Singapura

Oleh AFP

Seoul: Son Heung-min menjaringkan gol cantik dari luar kotak penalti ketika Korea Selatan di bawah bimbingan Jurgen Klinsmann bergaya membelasah Singapura 5-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026, hari ini.

Kemenangan itu diharap dapat memenangi hati penyokong Korea Selatan yang masih belum yakin dengan keupayaan Klinsmann, namun ada tugasan yang lebih sukar selepas ini, bermula dengan pertemuan menentang China.

"Pujian tinggi kepada pasukan, prestasi yang sangat profesional," kata legenda Jerman itu yang menjadi jurulatih Korea Selatan sejak Februari lalu.

"5-0 adalah kemenangan yang bagus tetapi ia tidak menunjukkan keupayaan sebenar pasukan," kata," tambah Klinsmann.

Korea Selatan mendominasi perlawanan di Stadium Piala Dunia dekat Seoul tetapi mereka gagal menembusi gawang lawan sehinggalah minit ke-44 apabila Cho Gue-sung menjaringkan gol pertama.

Empat minit selepas masuki babak kedua, bintang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan menanduk masuk bola untuk gol kedua Korea.

Son menjadikan kedudukan 3-0 menerusi sepakan lencong dari luar kotak penalti minit ke-63.

Hwang Ui-jo dari Norwich City menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 4-0 dan pemain PSG, Lee Kang-in meledak gol kelima menerusi rembatan kaki kiri pada minit ke-85.

"Kami perlu bersabar. "Sangat sukar bermain dengan Singapura yang mempunyai hampir 10 pemain di depan gawang mereka," kata Klinsmann.

Disiarkan pada: November 16, 2023 @ 10:41pm
d