Bola Sepak

Jangan musnahkan impian ke pentas Asia

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Selangor FC perlu aksi mengekalkan konsisten dalam dua perlawanan terakhir jika berhasrat untuk beraksi di pentas Piala AFC musim hadapan.

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata, untuk perlawanan seterusnya menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di tempat lawan ia bukan tugas mudah namun kemenangan ke atas Perak FC semalam memberi sedikit tonik tambahan buat pemain.

Ketika ini, pasukan kendalian Nafuzi Zain antara pencabar utama yang boleh meranapkan impian mereka untuk bermain di pentas Asia.

Justeru, Cheng Hoe berharap persiapan minggu ini berjalan lancar dan kesemua pemain berada di kondisisi terbaik untuk memburu kemenangan yang akan menjadi penentu perjalanan pasukan musim hadapan.

"Kalau kita dapat keputusan positif (menentang KDA FC), sudah tentu kita layak ke Asia (Piala AFC) musim hadapan tetapi itu bukan mudah bila kita akan pergi ke Kedah dan bermain di gelanggang keramat mereka selain sokongan dari penyokong mereka juga terbaik.

"Sudah pasti penyokong di sana ingin melihat pasukan mereka juga layak ke Piala AFC. Jadi, apa yang penting kita perlu fokus perlawanan seterusnya agar kita dapat layak ke Piala AFC," katanya.

Tambahnya lagi, kemenangan ke atas Perak FC dengan jaringan 4-0 itu amat penting buat pasukan dan beliau memuji barisan pemainnya yang menjalankan tugas dengan sangat baik.

"Jaringan sangat penting buat pasukan kerana ia boleh menjadi penentu kedudukan kerana jika jumlah kutipan mata sama dengan pasukan lain, sudah pasti kiraan gol akan di ambil kira," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2023 @ 3:59pm
d