Bola Sepak

Ubi muda Selangor FC menjadi

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Selangor FC boleh dikatakan 'goyang kaki' pada musim akan datang apabila pasukan terbabit bakal menuai hasil 'ubi muda' yang dilihat mempamerkan aksi positif sejak kebelakangan ini.

Hasil tangan Pengarah Teknikal Selangor FC, Dennis Bekking membolehkan pasukan pembangunan berjaya menguasai sepenuhnya di peringkat kumpulan sebagai pendahulu kumpulan masing-masing dalam Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia.

Berdasarkan kepada rekod, skuad Bawah 18 tahun (B-18) mengekalkan kejuaraan Piala Belia buat dua tahun berturut-turut tanpa sebarang kekalahan selain skuad Bawah 20 tahun (B-20) mara ke peringkat separuh akhir Piala Presiden.

Skuad Bawah 23 tahun (B-23) pula menamatkan saingan Piala MFL di tempat keempat Liga Juara pada tahun pertama saingan itu dianjurkan.

Bekking yang sebelum ini pernah menjadi Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) berkata, matlamat utama pembangunan adalah untuk memupuk budaya kemenangan di dalam dan di luar padang.

"Salah satu fokus utama di tahun pertama ialah cuba mewujudkan budaya berprestasi tinggi yang bermaksud kami cuba mencipta budaya kemenangan daripada menumpukan hanya pada kemenangan daripada perlawanan.

"Untuk melakukan ini, tingkah laku kakitangan dan pemain adalah sangat penting. Usaha 100 peratus tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang istimewa. Ia adalah perkara yang biasa.

"Kita mewujudkan persekitaran di mana mereka boleh menerima sebarang maklum balas tanpa mengubah mentaliti mereka untuk terus beraksi dengan baik. Kita juga meletakkan tuntutan tertentu menjadi satu tanggungjawab yang tinggi.

"Ia adalah sebahagian daripada persekitaran pembelajaran yang kami cuba cipta. Dalam persekitaran sedemikian, keselamatan adalah sangat penting. Ini bermakna pemain dan jurulatih bukan sahaja dijangka untuk mendapatkan kemenangan tetapi dibenarkan melakukan kesalahan kerana proses ini akan memberikan pengajaran berharga kepada mereka," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2023 @ 2:41pm
d