Bola Sepak

Harimau Malaya tak jadi lawan Arab Saudi

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Harapan skuad Harimau Malaya untuk mengasah taring berdepan pasukan di ranking ke-56 dunia, Arab Saudi tidak kesampaian apabila gergasi bola sepak Asia itu memilih negara lain untuk perlawanan persahabatan sebelum kempen Piala Asia di Qatar, bermula 12 Januari depan.

Sebelum ini, Malaysia mengesahkan Arab Saudi menjadi salah satu pasukan bakal menguji skuad kendalian Kim Pan-gon, namun ia tidak menjadi kenyataan dan perkembangan terbaru itu pasti menjejaskan persiapan pasukan negara.

Ia selepas Persatuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) mendedahkan aksi bertemu Malaysia tiada dalam jadual persahabatan yang bakal mereka harungi pada Januari depan.

Menurut SAFF, tiga aksi persahabatan diatur iaitu bertemu Lebanon pada 4 Januari, disusuli dengan perlawanan Palestin (9 Januari) dan Hong Kong pada 10 Januari.

Skuad kebangsaan yang menduduki ranking ke-130 dunia dijangka memulakan kem latihan pusat pada minggu depan sebagai persiapan fasa akhir menjelang kejohanan bola sepak paling berprestij Asia itu.

Malaysia yang layak secara merit buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun ke Piala Asia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

Pasukan negara dijadual menentang Jordan pada 15 Januari depan, Bahrain (20 Januari) dan aksi terakhir kumpulan bertemu Korea Selatan pada 25 Januari.

Difahamkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal mengeluarkan kenyataan rasmi termasuk pengganti pasukan yang akan dijadikan aksi pemanas badan terakhir sebelum memulakan kempen di Piala Asia.

Disiarkan pada: December 12, 2023 @ 6:12pm
d