Bola Sepak

Safawi sah sertai Terengganu FC musim depan

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Terengganu FC (TFC) boleh menarik nafas lega selepas Safawi Rasid menyatakan akan menyarung jersi pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Safawi yang ditemui ketika majlis sedekad dominasi Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu lalu, berkata dia akan menyertai skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner secara pinjaman.

"Ya... saya akan ke Terengganu secara pinjaman,. Itu sahaja yang saya boleh maklumkan," kata Safawi secara ringkas.

Difahamkan status pinjaman pemain kelahiran Dungun itu turut membabitkan pemain bek kanan TFC, Azam Azmi Murad yang akan ke JDT juga secara pinjaman dan semuanya menanti `lampu hijau dari pihak pengurusan TFC.

Seandai ia menjadi realiti, pastinya memberi lebih pilihan buat pengendali JDT, Esteban Solari bagi menguatkan posisi bek kanan yang kini sering menurunkan Matthew Davies di posisi berkenaan.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas tidak menafikan pihaknya sedang berusaha untuk memikat pemain sayap kanan JDT itu bagi menyertai skuad Penyu

Jelasnya rundingan awal dengan pihak pengurusan JDT sudah dilakukan dan kini menunggu 'lampu hijau' daripada pengurusan skuad Harimau Selatan itu.

"Ya, pihak kami kini sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat Safawi bagi memantapkan pasukan TFC menjelang saingan Liga M pada musim depan," kata Mohd Sabri.

Bagaimanapun Mohd Sabri tidak menyatakan status Azam Azmi sama ada pemain itu akan menyertai JDT tapi proses itu tampak menjadi kenyataan tatkala ia ibarat pertukaran pemain secara pinjaman membabitkan JDT dan TFC.

Sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan sejak 2017, Safawi sudah meledak 27 gol sepanjang 87 penampilannya, malah pemain itu juga pernah dipinjamkan kepada kelab Portugal, Portimonense SC pada musim 2020 dan kelab Thailand, Ratchaburi FC pada awal musim ini.

Disiarkan pada: December 18, 2023 @ 11:42am
d