Bola Sepak

Kem Selangor FC harmoni

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Selangor FC menafikan kem pasukan terbabit kini terbahagi kepada dua selepas berlakunya pergaduhan membabitkan Brendan Gan dan Faisal Halim.

Pengurus Gergasi Merah, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, ketika ini kem Selangor FC harmoni tanpa sebarang pertelingkahan membabit pemain.

Malah, ketika ini barisan pemain sedang bercuti sebelum mereka dipanggil untuk menyertai latihan sebagai persiapan mengharungi musim 2024.

"Setakat ini, tiada perkara-perkara sedemikian (pergaduhan) berlaku. Apa yang boleh dikatakan tiada masalah dalam kem Selangor dan tidak tahu bagaimana isu ini boleh timbul.

"Sepatutnya, isu terbabit tidak berlaku kerana ia akan menjejaskan Selangor FC terutama membabitkan nilai komersil kerana kita akan beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 2024/25 musim depan," katanya.

Sebelum ini, hangat diperkatakan bahawa Brendan bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya selepas empat musim bersama Selangor FC.

Situasi terbabit dikatakan berpunca daripada keretakan hubungan dengan seorang pemain lain dalam bilik persalinan yang tidak didedahkan.

Spekulasi mengatakan pemain yang dimaksudkan ialah pemain sayap skuad Gergasi Merah, Faisal Halim dengan ada pihak mengatakan penyerang berkenaan memiliki pengaruh tersendiri.

Namun, Faisal tampil menafikan terdapat perbalahan di sebalik tabir sehingga menjejaskan keharmonian pasukan.

Dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, penyerang bertubuh kecil terbabit berkongsi klip pendek memaparkannya meraikan jaringan Brendan Gan ketika aksi Liga Super menentang PDRM FC pada 17 Disember lalu.

"Baru lepas pertengkaran ni, makin lama makin merapu dah. Lawak siak," tulis Faisal secara sinis terhadap dakwaan di media sosial.

Disiarkan pada: December 23, 2023 @ 1:33pm
d