Bola Sepak

Skuad B-23 bukan biasa-biasa, 'ajar' China 1-0

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara melaungkan amaran mereka bukan lagi pasukan 'tangkap muat' apabila membenam China B-23 1-0 pada perlawanan persahabatan pertama yang berlangsung di Stadium Jinshan, China, sebentar tadi.

Barisan anak buah Juan Torres Garrido yang tampil dengan corak permainan berbeza mampu menyekat setiap serangan daripada China B-23 untuk memastikan gawang skuad muda negara tidak dibolosi.

Malah, skuad muda negara juga perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Azim Al Amin Kamaruddin yang beraksi cemerlang menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh rembatan berbahaya lawan.

Separuh masa pertama menyaksikan, kedua-dua pasukan saling melakukan serangan bagi mencari gol pembukaan perlawanan.

Skuad China B-23 hampir memecah kebuntuan gol seawal minit ke-10 perlawanan namun rembatan penyerangnya sedikit tersasar sekali gus melegakan pasukan pelawat.

Barisan serangan negara ditunjangi Fergus Tierney yang sering melakukan serangan kilat turut berpeluang menggegarkan gawang lawan namun rembatan Mukhairi Ajmal pada minit 30 berjaya dibaca penjaga gol China B-23.

Memasuki babak kedua menyaksikan skuad muda negara mempamerkan aksi lebih menyakinkan sekali gus sukar buat tuan rumah untuk mengatur serangan berbahaya.

Skuad China B-23 kerap menguji gawang Malaysia dari luar kotak penalti namun sepakan mereka dinafikan palang pada minit 58.

Peluang terbaik Malaysia pula untuk berada di hadapan hadir pada minit 72 namun umpanan dari T Saravanan dari sebelah kanan gagal disambut pemain negara.

Melihat bahagian tengah dan serangan kurang menyengat menyaksikan Garrido melakukan sekurang-kurangnya enam tukaran pemain bagi memburu gol kemenangan.

Ternyata keputusan terbabit membuahkan hasil apabila Harith Haiqal Adam Afka muncul wira dengan menyumbat gol kemenangan hasil dari sepakan penjuru pada masa tambahan separuh masa kedua.

Keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus kemenangan itu menjadi tonik terbaik meraih keputusan positif apabila skuad muda negara dijadualkan sekali lagi bertemu China B-23 pada Selasa ini.

Disiarkan pada: December 23, 2023 @ 4:12pm
d