Bola Sepak

West Ham 'ajar' Man United

Oleh AFP

London: Manchester United tewas 0-2 di West Ham selepas jaringan Jarrod Bowen dan Mohammed Kudus menambah tekanan kepada Erik ten Hag.

United di bawah bimbingan Ten Hag tergamam dengan jaringan lewat West Ham di Stadium London, menyebabkan mereka mengalami kekalahan kali kelapan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

United hanya meraih satu kemenangan dalam tujuh perlawanan di semua pertandingan.

Mereka tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir dan gagal menjaringkan gol dalam mana-mana perlawanan itu buat kali pertama sejak 1992.

Ia adalah satu lagi tamparan pahit buat Ten Hag, yang kedudukannya selaku pengurus semakin terancam dan pasti menjadi perkara pertama diambil kira oleh Jim Ratcliffe apabila jutawan Britain itu akhirnya melengkapkan pembelian 25 peratus kelab itu.

Ratcliffe dilaporkan akan mengawal operasi bola sepak United sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan pemilik semasa dari Amerika.

Ia musim kedua mengecewakan untuk Ten Hag, yang pasukannya sudah tersingkir dari saingan Eropah selepas menduduki tangga terbawah kumpulan Liga Juara-Juara selain turut tersingkir di saingan Piala Liga.

Disiarkan pada: December 23, 2023 @ 10:50pm
d