Bola Sepak

Stadium Shah Alam akan dirobohkan, baru raih kebenaran MBSA- Amirudin

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Impian penyokong Selangor FC untuk memiliki 'rumah sendiri' semakin hampir apabila proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam bakal bermula tidak lama lagi.

Ia selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan baharu menerima kebenaran daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk merobohkan stadium itu pada Jumaat lalu.

"Baru dapat kebenaran MBSA semalam (Jumaat lalu)," ujarnya di laman X.

Sebelum ini, peminat bola sepak Red Giants melahirkan kebimbangan tentang projek pembinaan kompleks sukan baharu Shah Alam itu tertangguh beberapa kali sejak awal tahun ini.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan pembinaan kompleks sukan baharu termasuk pembinaan semula Stadium Shah Alam yang menelan kos sekitar RM787-800 juta di tapak lama venue keramat Merah Kuning itu.

Stadium Shah Alam versi baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi dikatakan setaraf dengan Stadium Anfield malah mungkin mengatasi kehebatan gelanggang kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Ada juga yang menyamakannya dengan Stadium Tottenham Hotspur di London, satu lagi kelab gergasi EPL, terutama kerana menggunakan teknologi tercanggih dengan padang permainan mudah alih boleh diubah menjadi gelanggang pelbagai acara termasuk konsert serta kejohanan sukan lain selain bola sepak.

Padangnya akan menggunakan rumput paspalum yang dilaporkan banyak digunakan di beberapa stadium Piala Dunia di Qatar tahun lalu.

Rumput paspalum juga kerap digunakan di lapangan golf.

Stadium baharu itu mempunyai kapasiti antara 35,000 hingga 45,000 penonton dan menariknya ia dilengkapi dengan sistem penyejukan tempat duduk.

Disiarkan pada: December 25, 2023 @ 11:02am
d