Bola Sepak

TFC dedah punca ketepikan Habib, Norde

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Bukan disebabkan perselisihan faham dengan ketua jurulatih, sebaliknya faktor permintaan gaji yang tinggi menyebabkan Terengganu FC (TFC) terpaksa 'berpisah' dengan kapten, Habib Haroon dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pendedahan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas yang turut mendakwa seorang lagi pemain import, Sony Norde juga tidak bersama TFC kerana faktor yang sama.

Jelas Mohd Sabri, langkah penjimatan dalam perbelanjaan pasukan pada musim depan menyebabkan pihak pengurusan terpaksa mengetepikan dua tonggak import itu biarpun aksi mereka tidak mengecewakan pada musim ini.

"Kita tidak nafikan Habib dan Norde beraksi dengan baik bersama TFC pada musim ini, malah dua pemain itu adalah antara nadi dalam pasukan sehingga berjaya membantu TFC mara ke pentas final Piala Malaysia dan mengekalkan rekod tanpa kalah peringkat Kumpulan G saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

"Namun kita terpaksa mengetepikannya daripada pasukan pada musim depan kerana kita tidak mampu untuk membayar gaji yang dimintanya biarpun kita masih berminat untuk mendapatkan khidmat mereka.

"Ini kerana pada musim depan kita akan mengamalkan langkah penjimatan dalam perbelanjaan bagi memastikan perjalanan pasukan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah terutama berkaitan gaji pemain," kata Mohd Sabri.

Terdahulu Habib mengumumkan bakal meninggalkan skuad yang diwakilinya sejak 2021 itu selepas mendakwa kontraknya tidak disambung pihak pengurusan TFC.

Difahamkan pihak pengurusan TFC hanya mengekalkan dua tonggak import yang beraksi pada musim ini iaitu pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov dan penyerang Croatia, Ivan Mamut manakala pertahanan, Argzim Redzovic dari Montenegro dalam proses naturalisasi.

Sebelum ini Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pasukan TFC hanya akan menyenaraikan antara lima atau enam pemain import pada musim depan berbanding sembilan pemain pada musim ini sebagai langkah penjimatan perbelanjaan pasukan.

Disiarkan pada: December 28, 2023 @ 2:17pm
d