Bola Sepak

Kediaman Grealish dipecah masuk

Oleh Reuters

London: Keluarga Jack Grealish menjadi mangsa kejadian pecah rumah ketika Manchester City melakar kemenangan 3-1 ke atas Everton di Goodison Park pada malam Rabu.

Polis Cheshire dimaklumkan oleh ahli keluarga Grealish yang berada di dalam rumah apabila mereka mendengar bunyi bising.

Barang kemas dan jam tangan bernilai kira-kira £1 juta (RM5.84 juta) dilaporkan dicuri namun pelakunya masih belum berjaya ditangkap.

Ekoran kejadian itu Pep Guardiola mungkin tidak akan menurunkan Grealish untuk perlawanan terakhir Manchester City pada 2023 menentang Sheffield United malam ini.

Grealish diturunkan ketika penyandang juara itu melakar kemenangan 3-1 ke atas Everton di Goodison Park apabila rumahnya di Cheshire pecah masuk pencuri.

Dalam satu kenyataan, Polis Cheshire berkata: "Kira-kira jam 9.50 malam pada hari Rabu, 27 Disember polis dipanggil untuk melaporkan kejadian pecah rumah di Chelford, dekat Knutsford.

"Pemanggil melaporkan beberapa barang dicuri. Pegawai, dibantu anjing polis dan Perkhidmatan Udara Polis Negara dikerahkan dan pencarian dijalankan di kawasan tempatan, tetapi tiada jejak suspek.

"Tiada tangkapan dibuat buat masa ini dan siasatan sedang dijalankan."

Ia bukan kali pertama pemain bola sepak EPL menjadi sasaran.

Rumah bekas pemain pertahanan City, Joao Cancelo turut dirompak tahun lalu manakala keluarga Raheem Sterling menjadi mangsa serangan serupa ketika dia bersama skuad England di Qatar untuk Piala Dunia 2022.

Guardiola mengakui ia menjadi sebahagian daripada kehidupan moden dan meluahkan rasa leganya kerana tiada sesiapa yang cedera.​

"Nasib baik tiada apa-apa yang berlaku kepada ahli keluarganya yang berada di dalam rumah ketika itu," kata pengendali Sepanyol itu semasa sidang akhbarnya.

City mengikat Grealish pada tahun 2021 dari Aston Villa dengan rekod Liga Perdana Inggeris ketika itu £100 juta (RM585 juta).

Disiarkan pada: December 30, 2023 @ 8:41am
d