Bola Sepak

Harimau Malaya tak gentar lawan gergasi Asia - Wilkin

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Meskipun bakal berhadapan dengan nama besar serta pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi dari Malaysia, itu bukan bermakna skuad kendalian Kim Pan-gon harus memberikan laluan mudah buat mereka sebalik Harimau Malaya akan tampil lebih garang.

Pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkin berkata, Malaysia tetap akan memberi saingan sengit kepada lawan terutama Korea Selatan apabila mereka dibarisi pemain yang beraksi di liga terbaik dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Bundesliga.

Katanya, itu bukan alasan untuk dia dan rakan sepasukan membiarkan lawan bergerak bebas sehingga boleh menjejaskan rentak permainan Harimau Malaya.

"Korea Selatan ada pemain terbaik dunia yang bermain di EPL dan itu satu cabaran untuk kami dan kita akan sentiasa bersedia berhadapan dengan mereka.

"Beliau (Pan-gon) selalu menyebut bahawa kami perlu menghormati lawan tetapi jangan terlalu memberi penghormatan kepada mereka.

"Kami juga harus menghormati diri kami sendiri dan tahap permainan kami, jadi kami perlu berjuang bersungguh-sungguh menentang mereka dan jangan beri mereka terlalu banyak ruang untuk melakukan apa yang mereka inginkan," kata Wilkin.

Jelasnya lagi, dua kemenangan yang dilakarkan semasa aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menambah keyakinan kepada para pemain dan mereka ingin memastikan rentak cemerlang itu diteruskan di Piala Asia bulan depan.

"Saya fikir momentum itu masih ada. Kita berjaya mencatat dua kemenangan dan sehingga berada di puncak kumpulan (Kumpulan D).

"Ini adalah perlawanan yang kami ingin masuk (Piala Asia) untuk mendapatkan mata. Saya yakin semua pasukan akan memberi cabaran dan kita tidak boleh meremehkan atau terlebih menilai sesiapa pun.

Disiarkan pada: December 30, 2023 @ 2:50pm
d