Bola Sepak

Liverpool tak rela Fulham sekat impian Piala Liga

Oleh Agensi

London: Liverpool mahu meletakkan sebelah kaki di Stadium Wembley ketika menentang Fulham dalam aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris di Anfield awal pagi Khamis ini.

Reds dijangka mampu ke satu lagi final di bawah kendalian Jurgen Klopp dan yang pertama musim ini.

Selepas diperkuatkan semula pada musim panas, Reds mendahului pencabar lain apabila muncul pendahulu Liga Perdana Inggeris dengan tiga mata, mara ke pusingan 16 Liga Europa dan menyingkirkan pencabar gelaran liga Arsenal daripada saingan Piala FA dengan kemenangan 2-0 di Stadium Emirates.

Namun Liverpool tidak boleh terlalu yakin untuk menempah tiket ke stadium nasional dan mereka menyedari ancaman Fulham.

Kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi EPL bulan lalu dengan Reds menang 4-3 dalam aksi sengit yang memerlukan kebangkitan skuad Klopp pada lewat perlawanan.

Cottagers menduduki tangga ke-13 liga tetapi mereka menewaskan Arsenal dalam aksi liga terakhir dan mengatasi cabaran Rotherham United pada saingan Piala FA hujung minggu lalu.

Namun kemenangan untuk Liverpool bakal menyaksikan mereka sebelah kaki ke final sebelum pertembungan separuh akhir kedua di Craven Cottage dalam masa dua minggu lagi.

Sementara itu, EFL dalam laman webnya mengesahkan video bantuan pengadil (VAR) tidak akan digunakan pada aksi separuh akhir Piala Liga yang berlangsung awal pagi esok membabitkan perlawanan Chelsea dan Preston serta Liverpool-Fulham yang sekali gus melegakan penyokong keempat-empat pasukan.

Teknologi itu kali pertama digunakan pada 2019 membabitkan dua peringkat aksi separuh akhir tetapi ia dimansuhkan untuk saingan tahun ini untuk 'mengekalkan keadilan.'

Disiarkan pada: January 9, 2024 @ 9:38am
d