Bola Sepak

Harith Naem kembali ke pangkuan Sabah

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Pemain Perak FC musim lalu, Harith Naem Jaineh kembali ke pangkuan Sabah FC bagi menghadapi cabaran musim baharu bersama skuad Sang Badak.

Kedudukan pemain berumur 21 tahun itu disahkan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berikutan kehadiran Harith pada sesi latihan pertama musim ini bersama pemain Sabah yang lain, di sini, semalam.

Pemain tengah berasal dari Kota Belud itu bermain dengan Sabah FC pada 2021 sebelum berhijrah ke Melaka United FC pada 2022 dan kemudian ke Perak FC pada musim lalu.

Kim Swee berkata, setakat ini hanya Harith yang dibawa masuk untuk memperkukuh skuad Sang Badak pada musim 2024.

"Buat masa ini hanya Harith Naem kembali bersama pasukan Sabah," katanya mengulas sama ada Sabah FC mengambil pemain baharu untuk membantu pasukan pada musim ini.

Beliau bagaimanapun, berkata Sabah FC masih mempunyai masa yang panjang untuk memikirkan sama ada perlu mengambil pemain baharu atau tidak memandangkan saingan liga akan bermula pada Mei depan.

Katanya, pertimbangan mengenai perkara itu perlu mengambil kira sumber kewangan pasukan.

Dua tonggak utama Sabah FC pada musim lalu, Mohd Rizal Ghazali dan Mohd Amri Yahyah, tidak lagi bersama pasukan pada musim ini selepas tamat kontrak dan bersara.

Sementara itu, Kim Swee berkata pasukannya mempunyai masa kira-kira empat minggu untuk melakukan persiapan menghadapi saingan separuh akhir Zon ASEAN Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023.

"Apa yang paling penting ialah kita perlu berusaha dan dalam masa dua minggu ini kita akan berlatih tanpa beberapa pemain terutamanya pemain yang mewakili pasukan kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, sesi latihan ke separuh akhir Piala AFC pada minggu ini juga tidak dapat disertai tonggak import dari Indonesia, Saddil Ramdani yang diberi masa untuk berehat.

Katanya, Saddil dijadual kembali ke Sabah pada minggu depan dan beliau berharap persiapan Sang Badak selepas itu berjalan dengan lancar.

Sabah FC dijadual bertemu Macarthur FC dari Australia pada 13 Februari depan di Stadium Campbelltown, Sydney.

Disiarkan pada: January 16, 2024 @ 3:48pm
d