Bola Sepak

Sampai sini saja kekuatan Harimau Malaya

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Seluruh penyokong bola sepak tanah air perlu menerima hakikat bahawa kekuatan Harimau Malaya belum lagi mencapai tahap Piala Asia.

Walaupun skuad Harimau Malaya layak secara merit ke pentas Piala Asia selepas menunggu 42 tahun, namun pasukan kebangsaan masih lagi belum mampu bersaing dengan 'pak arab' yang rata-rata memiliki fizikal dan kekuatan lebih hebat.

Menurut penganalisis bola sepak negara Datuk Richard Scully skuad Harimau Malaya ketika ini memiliki barisan pemain dan jurulatih yang bagus namun belum lagi mencapai tahap untuk memberikan saingan di pentas Piala Asia.

Katanya, penyokong bola sepak tanah air perlu menerima hakikat bahawa skuad Harimau Malaya sudah berjuang sehabis baik di pentas Piala Asia dalam usaha memperoleh keputusan positif.

"Kita kena terima kekuatan Malaysia hanyalah sampai sini saja iaitu tidak mampu bersaing di pentas yang lebih kompetitif atau mengatasi lawan lebih hebat.

"Mereka (Harimau Malaya) hebat cuma belum cukup baik untuk menumpaskan lawan di saingan Piala Asia. Apa yang boleh dilakukan hanyalah 'move on' dan persiapan pasukan untuk saingan Piala Asia akan datang," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan skuad Harimau Malaya tewas 0-1 menerusi jaringan tunggal Ali Madan di hujung permainan.

Kekalahan itu adalah yang kedua selepas tewas 0-4 kepada Jordan dalam perlawanan pertama Selasa lalu.

Sementara itu, Richard berkata, kemasukan Natxo Insa dan Mohamadou Sumareh hanyalah berperanan untuk mengekang dan melambatkan asakan pihak lawan saja.

"Apa yang boleh kita harapkan daripada mereka? Peranan kedua-dua pemain itu hanyalah melambatkan serangan pasukan Bahrain saja.

"Kita tidak boleh meletakkan harapan kemasukan mereka dapat menjaringkan gol atau mengatur serangan ke kubu lawan kerana saya lihat itu bukanlah fungsi pemain terbabit," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2024 @ 2:31pm
d