Bola Sepak

Intan Sarah tidak terlepas begitu saja

Oleh Syazwan Msar

Sepang: Kerana mulut, badan binasa. Perumpamaan itu sesuai digambarkan kepada pemain bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan membiarkan individu terbabit terlepas begitu saja.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata, tindakan Intan Sarah menulis kenyataan disifatkan sebagai tidak sopan seharusnya tidak dilakukan sebagai individu yang memegang status pemain kebangsaan.

Beliau berkata, FAM akan menilai status hantaran pemain terbabit yang dimuat naik di laman sosial sebelum tindakan susulan diambil kelak.

"Kita akan menilai kenyataan dan kita akan panggil dia (Intan Sarah). Sebagai pemain kebangsaan, dia tidak sepatutnya keluarkan kenyataan begitu, kita akan nilai kenyataan yang dia maksudkan.

"Pada masa sama, sentiasa ingatkan (jangan keluarkan kenyataan negatif) kepada pemain semasa mereka berada dalam kem kebangsaan, ini tidak sepatutnya berlaku," katanya, ketika ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Sementara itu, ketika ditanya bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap Intan Sarah, Noor Azman berkata, pihaknya perlu melihat secara mendalam terlebih dulu terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Intan Sarah itu.

Sebelum itu, Intan Sarah dihujani kritikan peminat bola sepak tempatan apabila dia mempertikaikan pemilihan pemain gantian oleh Kim Pan-gon dalam aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 berdepan Korea Selatan.

Intan Serah difahamkan menginginkan penyerang sensasi, Safawi Rasid untuk dimasukkan sebagai pemain gantian dan mempertikaikan tindakan Pan Gon yang membawa masuk Romel Morales pada penghujung babak permainan.

"Another stupid sub from KPG (Kim Pan Gon), masukkan lah Pawi (Safawi)," tulis Intan Sarah di laman sosial miliknya.

Namun, percaturan Pan-gon membuahkan hasil dan menafikan pendapat Intan Sarah apabila Morales tidak membuang masa mencetak jaringan pada babak masa kecederaan dan golnya membantu Malaysia meraih satu mata berharga.

Kritikan yang dibuat oleh Intan Serah itu mencuri tumpuan penyokong tanah air apabila terdapat peminat yang tidak bersetuju dan mengecam tindakan pemain wanita kebangsaan itu.

Berita berkaitan: Intan Sarah 'surrender' pada Pan-gon

Disiarkan pada: January 27, 2024 @ 12:04pm
d