Bola Sepak

Puskas-FAM serahkan gol cantik Mat Siu pada AFC

Oleh Syazwan Msar

Sepang: Gol menarik hasil jaringan tonggak Harimau Malaya Faisal Halim ada peluang untuk ke Puskas Fifa apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk mencalonkan jaringkan itu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman yang menyatakan AFC adalah pihak yang layak untuk mencalonkan jaringan terbabit kerana badan induk bola sepak Asia itu mengurus dan menganjurkan kejohanan Piala Asia di Qatar.

"Kita serahkan kepada AFC sama mereka mahu mencalonkan jaringan itu atau pun tidak kerana kejohanan ini (Piala Asia 2023) adalah pertandingan mereka, jadi mereka lebih tahu.

"Kita menyambut baik sebarang keputusan yang diambil oleh AFC, sekarang kejohanan masih berlangsung," katanya, ketika ditanya sama ada FAM akan mencalonkan gol Faisal untuk anugerah Puskas.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023 antara Harimau Malaya menentang Korea Selatan, Faisal berjaya meledak jaringan cantik yang mengadunkan teknik dan kepandaiannya.

Pemain Selangor FC itu memperdayakan pertahanan Korea Selatan, Kim Min Jae yang juga pertahanan terbaik Serie A 2022/2023 ketika bintang Bayern Munich itu menjangkakan Faisal akan melakukan hantaran.

Sebaliknya, Faisal terus melakukan percubaan sekali gus turut memperdayakan penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo sehingga bintang Ulsan Hyundai itu terduduk untuk menutup peluangnya menjaringkan gol.

Berdasarkan komen peminat bola sepak tempatan di laman media sosial, rata-rata turut menyifatkan jaringan itu bertaraf dunia dan sememangnya layak dinobatkan sebagai jaringan terbaik setakat ini.

Anugerah Puskas bukanlah sesuatu yang asing buat Malaysia apabila pada 2016 pemain kelahiran Kedah iaitu Faiz Subri dinobatkan pemenang anugerah itu menerusi sepakan percuma lencong yang cukup menarik.

Untuk rekod, jika mana-mana gol memenuhi syarat Puskas, maka gol itu layak dicalonkan dan kebiasaannya, jaringan tercantik yang memasuki calon 10 terbaik akan diundi oleh peminat bola sepak dunia sebelum tiga gol disenarai pendek untuk mencari pemenang.

Disiarkan pada: January 27, 2024 @ 1:47pm
d