Bola Sepak

Azwan, Zarif Irfan lanjut kontrak dua musim

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pemain pertahanan, Azwan Aripin terus mendapat kepercayaan Sri Pahang FC apabila kekal bersama skuad itu bagi tempoh dua musim akan datang.

Pengumuman itu dilakukan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sri Pahang FC hari ini, pemain berusia 28 tahun yang menyarung jersi Tok Gajah sejak 2022 akan menjadi taruhan terbaik skuad itu.

"Awe (Azwan) terus bersama Sri Pahang!, pertahanan kiri ini menandatangani lanjutan kontrak selama dua musim untuk terus bersama Sri Pahang FC.

"Awe telah menjadi antara pemain regular musim 2023 dan kelab gembira untuk mengekalkan khidmatnya," menerusi hantaran itu.

Terdahulu, kontrak Zarif Irfan Hashimuddin selaku penjaga gol Sri Pahang turut dilanjutkan bagi tempoh dua musim.

Pemain berusia 29 tahun itu yang menyarung jersi Tok Gajah sejak musim 2021 masih mendapat kepercayaan skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

"Penjaga gol, Zarif Irfan menandatangani lanjutan kontrak selama dua musim untuk terus bersama Sri Pahang FC.

"Tangkas dan sentiasa komited, Zarif Irfan yang menyertai kelab pada 2021 tekad memanfaatkan sebaiknya pengalaman dan sedia bersaing memenangi status penjaga gol utama pasukan," menerusi hantaran itu.

Disiarkan pada: January 28, 2024 @ 4:10pm
d