Bola Sepak

Lambakan calon pemain kacukan Harimau Malaya

Oleh Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Bukan setakat pemain Barcelona B, Naim Garcia yang berdarah Sepanyol tetapi memiliki keturunan Malaysia tetapi ramai lagi pemain kacukan yang layak mewakili Harimau Malaya ketika ini sedang beraksi di luar negara.

Terima kasih kepada laman pencari bakat, frfuturetalents yang berjaya mengesan lambakan kelompok pemain itu sekali gus memudahkan kerja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk 'meminang' mereka bagi menyertai skuad kebangsaan.

Cuma harus diingat meskipun mereka layak mewakili Malaysia namun tidak bermakna mereka akan memilih Malaysia memandangkan mereka lahir di negara yang memiliki kualiti bola sepak yang jauh lebih baik berbanding negara ini.

Berdasarkan pencarian frfuturetalents, kebanyakan pemain ini berkelahiran Belanda dan beraksi di liga tempatan namun ada yang beraksi bersama skuad pembangunan di England, liga bawahan di England selain di Itali.

Kelompok pemain ini juga masih muda dan mengisi banyak posisi sekali gus mampu memberi manfaat jangka panjang buat skuad kebangsaan sekiranya mereka memilih untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Antara pemain yang mencuri tumpuan adalah pemain tengah Heracles Almelo, Sem Scherperman berusia 21 tahun yang memiliki keturunan Malaysia menerusi neneknya dan rakan sepasukannya, Diego Van Oorshot yang berdarah Malaysia menerusi neneknya.

Pertahanan kanan Go Ahead Eagles, Mats Deijl yang berusia 26 tahun pula memiliki darah Malaysia sebelah bapanya.

Pemain tengah Wigan Athletic berusia 20 tahun, Christopher John Bernard Sze lahir di United Kingdom (UK) namun memiliki darah Malaysia sebelah datuknya yang juga rakyat Malaysia berbangsa Cina.

Penyerang tengah skuad B-21 Manchester United, Ethan Joseph Wheatley memiliki keturunan Malaysia menerusi neneknya sementara pemain tengah skuad B-17 Manchester City, Daniel Batty memiliki keturunan Malaysia menerusi ibu bapa kepada emaknya.

Pemain yang beraksi bersama Birmingham City di Liga Kejuaraan, Alfie James Chang turut layak mewakili negara selepas berketurunan Malaysia menerusi ibu bapa sebelah bapanya.

Dua beradik iaitu Jason van Duiven (18) yang beraksi bersama PSV Eindhoven di posisi penyerang dan adiknya, Robin van Duiven yang mewakili skuad B-18 PSV Eindoven berketurunan Malaysia menerusi neneknya.

Pemain lain yang turut menyertai kelompok pemain berdarah kacukan adalah dua beradik iaitu Danish Haady Dawood Pesenti (18) dan abangnya, Daniel Hylmi Dawood Pesenti (20 tahun) di mana ibu mereka daripada Malaysia.

Danish Haady kini beraksi bersama Arenzano FC di Itali selepas dipinjamkan daripada pasukan Serie D, Vado FC sementara Daniel Hylmi bersama GSD Olimpic 1971.

Menariknya, frfuturetalents menyatakan Daniel Hylmi beraksi bersama Melaka FC selama enam bulan pada tahun lalu selain pernah menjalani percubaan bersama Terengganu FC (TFC).

Disiarkan pada: January 29, 2024 @ 11:18pm
d