Bola Sepak

Jurulatih Iran 'kecewa' jumpa Jepun di suku akhir

Oleh Reuters

Doha: Jepun dan Iran sepatutnya bertemu pada final Piala Asia dan bukannnya pada suku akhir kata jurulatih Iran, Amir Ghalenoei, hari ini.

Beliau menambah pasukan dari Asia Timur itu memuncak pada masa yang tepat selepas kekalahan mengejut pada aksi kumpulan.

Ketika Iran mendahului kumpulan dengan mata maksimum, Jepun di kedudukan kedua selepas tewas kepada Iraq.

Bagaimanapun skuad kendalian Hajime Moriyasu lebih tajam pada aksi 16 terakhir ketika menang mengatasi Bahrain manakala Iran memerlukan penentuan penalti bagi menyingkirkan Syria.

Jepun dan Iran adalah dua pasukan teratas negara Asia dalam kedudukan Fifa.

"Saya rasa Jepun dan Iran sepatutnya bertemu di final tetapi kini kami bertembung di suku akhir," kata Ghalenoei menjelang pertemuan kedua-dua pasukan esok.

"Kualiti yang dipamerkan Jepun pada aksi kalah mati jauh lebih baik berbanding peringkat kumpulan," katanya lagi.

Ghalenoei juga merungut mengenai jadual kejohanan AFC itu dengan berkata mereka hanya ada sedikit masa untuk pulih daripada perlawanan selepas berlanjutan ke masa tambahan ketika menentang Syria.

Disiarkan pada: February 2, 2024 @ 8:47pm
d