Bola Sepak

Jordan ke separuh akhir Piala Asia kali pertama

Oleh AFP

Doha: Jordan mara ke separuh akhir Piala Asia menentang Korea Selatan atau Australia selepas menewaskan Tajikistan 1-0, hari ini.

Pada perlawanan suku akhir itu, gol sendiri Tajikistan pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memastikan Jordan mara ke separuh akhir buat kali pertama.

Ia pastinya keputusan yang sukar diterima jurulatih Tajikistan, Petar Segrt dan anak buahnya yang juga penampilan pertama mereka di Piala Asia.

Tetapi sejarah dilakar Jordan di bawah bimbingan jurulatih dari Maghribi, Hussein Ammouta, selepas tewas pada dua aksi suku akhir sebelum ini iaitu pada 2004 dan 2011.

Jordan, ranking 87 berbanding 106 dihuni Tajikistan, menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk mengejutkan Iraq 3-2 pada pusingan 16 terakhir dan mereka bermula baik di hadapan 36,000 penonton dekat Stadium Ahmad bin Ali, venue Piala Dunia 2022.

Gol tunggal Jordan terhasil pada minit ke-66 selepas tandukan pertahanan Jordan, Abdallah Nasib terkena pemain Tajikistan, Vahdat Hanonov dan kemudian masuk ke gawang sendiri.

Kedua-dua pasukan mempunyai beberapa peluang terbaik selepas itu tetapi Jordan bertahan dengan baik untuk menempah tempat ke separuh akhir.

Disiarkan pada: February 2, 2024 @ 10:06pm
d