Bola Sepak

Che Rashid mahu terus berbakti dengan NSFC

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) Che Rashid Che Halim masih menaruh harapan agar dapat meneruskan sumbangannya bersama pasukan itu dalam menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Meskipun kelab berkenaan kini dilihat berwajah baharu selepas membuat beberapa perubahan terutama dari segi pegawai dan barisan pemain pasukan yang akan ditampilkan musim ini, namun dia berharap impiannya untuk bersama skuad Hobin Jang Hobin, tercapai.

"Saya belum bercadang berhijrah ke pasukan lain sebaliknya masih berhasrat untuk memberikan sumbangan bersama Negeri Sembilan.

"Saya berharap dapat diberi peluang sekali lagi walaupun kelab didapati melakukan perubahan dari segi pegawai dan mungkin pemain," kata tonggak pertahanan berpengalaman berusia 28 tahun itu, hari ini.

Menurut Che Rashid, kontrak yang ditandatanganinya bersama NSFC sebelum ini adalah selama dua tahun dengan satu tahun pilihan.

Katanya, bagaimanapun setakat ini belum ada perkembangan atau keputusan mengenai kedudukan dalam pasukan itu.

"Saya masih menantikan perkembangan daripada pihak pengurusan kelab. Kontrak saya bersama NSFC adalah 1+1, tapi setakat ini belum ada keputusan lagi," katanya.

Che Rashid mula menyertai Negeri Sembilan pada musim 2021 dan berjaya membantu pasukan itu menjulang kejuaraan Liga Perdana musim berkenaan.

Pemain berasal dari Johor itu yang sudah beraksi hampir 200 perlawanan sejak 10 tahun lalu, akui serasi dengan Negeri Sembilan.

Setakat ini, Tommy Mawat Bada adalah satu-satunya bekas pemain pasukan itu yang sudah menetapkan hala tuju apabila menyertai Perak FC.

Sehingga kini, tiada sebarang maklumat daripada pihak NSFC berhubung pembentukan pasukan baharu musim 2024/2025 selepas kelab terbabit menamatkan kontrak ketua jurulatih, K Devan dan semua pemain import musim lalu.

Disiarkan pada: February 5, 2024 @ 10:05pm
d