Bola Sepak

Troost-Ekong buru hadiah terhebat

Oleh Agensi

Abidjan: Kapten Nigeria William Troost-Ekong berkata, menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menjadi detik paling berharga untuk dirinya dan negara mereka.

Super Eagles menewaskan Afrika Selatan menerusi penentuan penalti untuk mara ke final berdepan tuan rumah Ivory Coast di Abidjan pada awal pagi Isnin ini.

Nigeria mara ke final pertama mereka sejak 2013 ketika negara Afrika Barat itu menjuarai gelaran buat kali ketiga.

"Anda impikan saat seperti itu," kata Troost-Ekong yang beraksi di pertahanan tengah kepada BBC Sport Africa.

"Saya menyaksikannya banyak kali dan saya tutup mata. Berada di sana pada Ahad ini (awal pagi Isnin) dan berpeluang melakukannya pasti sangat hebat."

Nigeria bukanlah antara pasukan pilihan menjulang trofi sebelum final susulan aksi hambar pada dua perlawanan awal kelayakan Piala Dunia 2026 dan hanya keenam terbaik di Afrika menurut ranking Fifa.

Namun Super Eagles muncul pasukan pilihan di kejohanan itu selepas tamat peringkat 16 di mana juara bertahan Senegal, Maghribi dan pemenang tujuh kali Mesir tersingkir.

Pengurus Nigeria Jose Peseiro berkata, dia selalu percaya dengan pasukannya yang menjadi penjaring terbanyak ketika kelayakan dengan 22 gol.

"Ketika saya menandatangani kontrak, saya berkata saya mahu juarai Afcon," kata pengendali dari Portugal itu. "Saya tak pasti sama ada semua orang percaya atau tidak tapi saya percaya sejak saat pertama."

Disiarkan pada: February 9, 2024 @ 12:09pm
d