Bola Sepak

FAM yakin dapat lampu hijau Fifa

Oleh Syazwan Msar

Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya perlu menunggu 'lampu hijau' Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Datuk S Sivasundaram, badan induk bola sepak antarabangsa akan tampil melakukan pemeriksaan selain turut menguji keupayaan teknologi itu sebelum boleh digunakan kelak.

"FAM akan menjemput delegasi dari Fifa untuk tujuan pemantauan, penilaian dan mendapatkan pengiktirafan terhadap sistem yang kita gunakan ketika ini.

"Fifa akan membuat ujian daripada segala aspek seperti daripada teknologinya, pengujian di atas padang, pemerhatian untuk pengadil yang mengendalikan sistem terbabit serta ujian untuk perlawanan secara langsung.

"Ujian ini perlu diadakan untuk kita mendapat kelulusan daripada Fifa dan selepas dapat kelulusan, barulah VAR sedia (untuk digunakan). Kemungkinan besar kita akan dapat kelulusan dari Fifa," katanya pada sidang media mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-10 Bagi penggal 2021-2025, di Wisma FAM, di sini, sebentar tadi.

Sebagai rekod, seramai 21 pengadil, 20 pembantu pengadil dan sembilan pengadil 'replay' sudah selesai menjalani latihan VAR yang diiktiraf Fifa.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan teknologi VAR akan digunakan sepenuhnya dalam saingan Liga M 2024/25 yang bermula, Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam menyatakan penggunaan teknologi terbabit akan menelan kos RM9.7 juta yang merangkumi kos penyediaan bagi tahun pertama.

Stuart menjelaskan badan pengendali liga itu akan menggunakan trak bergerak untuk operasi VAR yang akan diletakkan di stadium pada hari perlawanan.

Disiarkan pada: February 13, 2024 @ 6:55pm
d