Bola Sepak

Bos Gaurus lebih tajam musim depan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tanduk skuad The Bos Gaurus dijangka lebih tajam menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila Perak FC bercadang untuk menjalani latihan pramusim di luar negara.

Ia dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang mengakui sedang mempertimbangkan untuk membawa pasukan menjalani latihan dan mengharungi aksi persabahatan di sekitar negara Asia.

Katanya, perkara itu masih diperhalusi dan jika mendapat sokongan penuh rakan penaja, tidak mustahil ia akan dapat dilaksanakan sekali gus bakal memantapkan persiapan Perak FC.

"Perancangan untuk perlawanan persahabatan dan sebagainya masih lagi dalam rancangan. Kalau ada rezeki, mungkin kita akan ke sebuah negara Asia.

"Kalau dapat 'support' daripada penaja dan sebagainya, InsyaAllah kita akan buatlah," katanya yang memaklumkan latihan pramusim di bawah kendalian Yusri Che Lah akan bermula pada 1 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Bobie percaya kehadiran pemain import baharu kelahiran Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov mampu memperkukuhkan kekuatan skuad Yusri itu.

Katanya, seeamai 10 pemain baru bakal menyertai Perak FC termasuk beberapa nama yang sudah diumumkan sebelum ini.

"Kita dah lengkapkan (senarai 10 pemain). Yang lain akan kita umum selepas mereka lepas ujian perubatan. Ia termasuklah lagi tiga pemain import," katanya.

Kanybekov menjadi pemain kelima yang diumumkan Perak FC selepas sebelum ini mengumumkan muka baharu antaranya Tommy Mawat, Ariff Ar-Rasyid Ariffin, Mohamad Ramadhan Ab Hamid dan Nur Azfar Fikri Azhar.

Disiarkan pada: February 18, 2024 @ 4:57pm
d